RENUNGAN TUK SEMUA..
Di malam yang hening,merupakan malam pertama bagi sepasang suami isteri ini, malam penentuan
pertarungan hak dan batil. Malam yang dinanti-nantikan oleh sepasang mempelai
yang baru hangat diraikan dalam majlis kenduri tengahari tadi. Alam bagaikan mengerti,
hujan rintik-rintik dan sejuk yang nyaman di perkampungan seperti ingin
membasahkan kehangatan suami isteri malam ini.
Suatu yang mengesankan
ialah inilah kali pertama mereka bersua muka, menatap wajah pasangan dengan
lebih dekat, menyentuh kulit mulus isteri yang dicintai dan inilah debaran
malam pertama bagi mereka. Sebelum ini , mereka tidak pernah sedekat ini, jika
adapun bertemu di hadapan keluarga masing-masing, jika ada pun bertemu bersama
kawan-kawan. Tidak pernah mereka berjalan beriringan, tidak pernah mereka
menjangka bahawa satu perkenalan, satu masa yang singkat terus membawa kepada
jinjang pelamin. Alam pernikahan yang begitu asing bagi mereka.
Malam semakin larut, si
suami membasahkan tubuhnya menyucikan diri. “Aneh” bisik isterinya. Di
malam-malam begini yang dingin mengapa perlu membasahkan tubuh? Lebih aneh
selepas itu suaminya masuk ke bilik belakang yang kosong agak lama sehingga
memaksa isterinya mengintip di celahan pintu bilik itu. Alangkah terkejutnya,
suaminya seakan mati, kaku dengan gerakan sujud dan terdengar esakan kecil
umpama merintih.
Dia tahu apa yang
dilakukan oleh suaminya dan dia akur. Itulah cinta suaminya yang sejati. Dia
tidak perlu cemburu dengan cinta itu dan dia pernah berfikir walaupun segunung
cintanya pada suaminya, tidak akan sama dengan cinta suaminya di bilik kosong
itu. Dia menunggu, bertelekung di atas taburan bunga mawar di atas katil empuk
itu. Si suami keluar dan memandang tepat ke arah isterinya, isterinya menunduk
malu.
Isteri : Mengapa awak pilih
saya?
Suami : Kerana awak
berniqab (memakai purdah).
Isteri : Ramai kan yang
berniqab?
Suami : Kerana awak ada agama.
Isteri : Ramai kan yang
ada agama?
Suami : Kerana awak
adalah jodoh ketentuan dari Allah S.W.T.
Isteri kehabisan
soalan, dia tahu jawapan itu tidak ada persoalan lagi.
Suami : Saya jumpa awak
yang saya nampak hanya 2 biji mata, saya tak tahu wajah awak dan selepas itu
saya terus tidak melihat wajah awak, tetapi saya melihat di rumah awak, di
hadapan ibu bapa awak. Ketika mereka menyaksikan hasrat saya untuk memiliki
awak dan ketika awak membuka niqab, saya tidak perlu tahu selanjutnya wajah
awak kerana itu bukan tujuan utama saya memiliki awak.
Isteri : Saya tidak
cantik…
Suami : Lebih baik
beristerikan perempuan yang berkulit hitam, berbibir tebal tetapi mempunyai
Agama dalam dirinya adalah nikmat yang paling cantik daripada memiliki isteri
yang berkulit mulus, tetapi tiada agama dalam dirinya. Tetapi jika cantik dan
ada agama itu adalah anugerah Allah kepada saya. Tetapi adakah perempuan sedar,
mereka yang menampakkan kecantikan yang haram didedahkan tetapi akhirnya mereka
adalah bahan bakar di neraka kelak. Wana’uzubillah.
Isteri : Saya juga
ingin cantik…
Suami : Sayang, kecantikan
awak takkan kekal. Awak akan dimakan usia. Tetapi mahukah awak kekal cantik
selamanya?
Isteri: Itu yang saya
mahukan…
Suami : Mahukah awak
menjadi secantik bidadari, malah lebih dari itu?
Isteri: Perempuan di
dunia ini sehabisnya menyolek diri mereka umpama bidadari tetapi adakah mereka
berjaya?
Suami : Ada caranya,
malah tidak perlu berhabis ribuan ringgit!
Isteri: Yakah?,
tunjukkan caranya!
Suami : Rasulullah
pernah bersabda, “Wanita di dunia lebih baik daripada bidadari
sebagaimana yang zahir lebih baik daripada yang batin.”
Isteri : Saya kurang
faham, di mana alat-alat mekapnya?
Suami : Rasulullah
pernah bersabda, “Jika perempuan solat lima waktu, berpuasa pada
bulan Ramadhan, menjaga kemaluannya dan taat kepada suaminya, nescaya ia akan
masuk syurga.” (HR. Al-Bazaar).
Isteri : Bagaimana
cantiknya saya di dalam syurga nanti?
Suami : Tolong ambilkan
Al-Quran atas meja tu dan Tafsir Ibnu Kathir yang kawan awak hadiahkan tu. Awak
ada wudukkah?
Isteri : Ada. Nanti
sekejap.
Suami : Lihat Surah
Al-Waqiah, “Sesungguhnya kami akan ciptakan mereka secara langsung.”
(ayat 35 ), Ibn Kathir dalam menafsirkan ayat ini menyatakan bahawa wanita baik
mereka itu tua atau tidak mereka akan dibangkitkan dengan ciptaan yang baru.
Dalam keadaan mereka itu muda dan perawan. Ini dikuatkan lagi dengan ayat yang
berikutnya “Dan Kami jadikan mereka itu gadis perawan” (ayat 36).
Isteri : Saya belum
dapat bayangkan macam mana cantiknya saya nanti.
Suami : Dalam ayat yang
seterusnya Allah berfirman lagi “(Tentang wanita) penuh cinta
(kepada suami mereka) lagi sebaya umur” (ayat 37). Dalam Ayat ini,
Allah menerangkan mereka ini (wanita) terlalu asyik mereka hanya kepada suami
mereka sahaja manakala suami mereka juga asyik kepada mereka. Cinta mereka
hanya kepada suami mereka sahaja (Tafsiran Ibn Abbas).
Isteri : Sahih tu bang,
tapi saya nak bayangkan macam mana cantiknya saya dalam syurga nanti.
Suami: Baiklah, tunggu
sekejap saya ambil kitab hadith, lihat ini ada Riwayat dari Hadis Tabhrani,
sambungan dari yang zahir lebih baik dari yang batin yang saya ceritakan tadi,
ingatkah?
Isteri : Oh! ada, saya
ingat.
Suami : Maka bertanya
lagi Ummu Salamah: Dengan apa yang menyebabkan mereka lebih baik, Baginda pun
bersabda: dengan solat mereka, puasa mereka dan ibadat mereka kerana Allah.
Malah Allah memakaikan pada muka mereka cahaya, pada badan mereka sutera, kulit
mereka berwarna putih, pakaian mereka berwarna hijau, malah mereka dipakaikan
dengan perhiasan berwarna kuning (yakni emas) rantai mereka daripada permata,
sikat mereka daripada emas. Lalu mereka berkata: Kami kekal (di dalam syurga)
dan kami tidak akan mati lagi, kami memperolehi nikmat dan kami tak akan
bersedih lagi, kami akan kekal di dalam syurga dan kami tidak akan berpindah,
kami adalah orang yang redha dan kami tidak akan marah, beruntunglah sesiapa
yang kami (dijadikan) untuknya dan (dijadikan) dia untuk kami. Lalu Ummu
Salamah bertanya lagi: Wahai Rasullallah, ada di kalangan kami yang berkahwin
dengan dua orang lelaki, atau tiga orang lelaki atau empat orang lelaki (bukan
dikumpulkan sekali tetapi merupakan perkahwinan yang kedua selepas kematian,
cerai atau lainnya), kemudian perempuan itu mati dan dapat masuk kedalam syurga
begitu juga bekas-bekas suaminya juga masuk syurga, maka siapa yang akan
menjadi suaminya (di dalam Syurga)? Baginda menjawab: Dia akan memilih yang
terbaik di kalangan mereka dari segi akhlak. Nah! Hadith ini dengan jelas
menampakkan kelebihan orang wanita daripada bidadari.
Isteri : Alhamdulillah,
baru saya faham. Maksudnya jika saya berjaya menjadi wanita solehah dengan
ciri-ciri dari firman Allah dan hadith, maka saya akan masuk syurga dan menjadi
lebih cantik dari bidadari!
Suami : Wanita yang
merupakan ahli syurga juga mendapat nikmat yang tak ternilai banyaknya. Dan
nikmat yang diperolehi oleh wanita atau lelaki di dalam syurga adalah sesuai
dengan fitrah kejadian kejadian mereka. Cubalah kita renungi baik awak atau pun
saya, apakah yang amat dihajati oleh kita dan sekiranya kita diberi peluang
nescaya kita akan mendapatkannya? Pada pandangan saya, orang lelaki lebih
berhajat kepada wanita manakala wanita pula di samping berhajat kepada suami,
akan tetapi kecantikan dan kejelitaan lebih menjadi tumpuan pada mereka.
Bukankah semua ini terdapat di dalam syurga?
Isteri : Saya tahu
sedikit dari ilmu yang saya kutip, tetapi ada yang saya lupa, eloklah saya
mendengar sendiri dari suami saya!
Suami : Ya. Saya juga
muzakarah dengan awak, lagi satu, bidadari syurga yang bukan dari kalangan
isteri saya akan memarahi awak juga!
Isteri : Hah! Bidadari
marah saya? Kenapa? Macam mana awak tahu?
Suami : Buka kitab
hadis tadi, baca “Janganlah seorang perempuan menyakiti suaminya
di dunia, jika tidak, maka bidadari-bidadari isterinya di syurga akan berkata
kepadanya: Janganlah kamu menyakitinya, sesungguhnya ia adalah tamu bagimu yang
sebentar lagi akan meninggalkanmu untuk berkumpul bersama kami.”
(H.R. Ahmad dan Tirmidzi dari Mu’adz bin Jabal r.a)
Isteri : Wah! Saya amat
takut jika awak meninggalkan saya di dunia lebih menyedihkan jika saya tidak
dapat berjumpa awak di syurga!
Suami : “Harta yang utama adalah lisan yang senantiasa berzikir, hati yang
senantiasa bersyukur dan isteri beriman yang membantu suami dalam menegakkan
bangunan imannya.” (H.R. Ibnu Majah dan Tirmidzi)
Isteri : Alhamdulillah!
Baru saya faham sejelasnya, terima kasih abang. Tetapi itukan banyak persoalan
tentang saya, bagaimana saya dalam keluarga yang taat kepada perintah Allah,
yang menghidupkan sunnah Rasulullah dan akan mendapat nikmat syurga. Bagaimana
dengan diri abang?
Suami : Oh itu masa
tidak mengizinkan, biarlah kita berbicara satu bab dengan teliti. InsyaAllah
esok malam kedua kita bicarakan soal itu ya.